"Islamophobia", perkataan yang bukan baru tapi bukan juga lama
saya kenali.
![]() |
*Gambar hiasan : Sabahan di Bristol |
Pengalaman semasa saya membesar, kefahaman terhadap Islam agak
kurang. Yang pernah terlintas di kepala saya adalah Islam = Melayu. Tidak pernah
bertanya lebih, atau tidak ada niat untuk mengetahui lebih dalam kerana, TIADA
KEPERLUAN. Walaupun mempunyai kawan-kawan dari pelbagai kaum dan agama,
persoalan tentang apa itu kaum dan apa itu agama tidak wujud ketika itu.
Mungkin kerana sebagai kanak-kanak, tidak penting warna kulit, agama dan negara
asal orang itu. Naif, tidak minat untuk bertanya lebih. Ya, indah sekali jika
dunia sentiasa kekal naif seperti itu. Sentimen politik tentang “menolak melayu”
yang saya dengar ketika kecil pula bermaksud menolak kepimpinan tanah besar.
Ketika itu sangat kuat semangat "Sabah for Sabahan".
Kawan-kawan beragama Islam di zaman saya membesar, Nurul dan
Zaharatumlina di tadika Kemas; satu kampung dan juga geng van sekolah, Maznah jiran yang juga rakan main masak-masak,
Rajman ketika di sekolah rendah; saya ingat sangat sebab kejadian dia bergaduh dan lari dari jururawat
semasa pemeriksaan gigi dan Hasnawati di sekolah menengah kerana tak ramai
perempuan di sekolah yang pakai tudung. Kurang dari 10.
Kini saya sebahagian dari komuniti ini, saya mula mengimbau
betapa bezanya suasana membesar dan suasana sebenar di realiti kini.
Cerita tentang "Islamophobia" yang sebelum ini cuma muncul di berita dan juga
ucapan-ucapan politik kini berlaku di depan mata saya.
3 kali terjadi.
Kali pertama ketika perjalanan saya ke Bristol City Academy
untuk latihan. Kejadian berlaku di depan mata saya apabila sekumpulan lelaki
yang saya kira mabuk alkohol menjerit kepada seorang wanita tua yang sedang
menunggu bas. Kata-kata kesat dikeluarkan dan juga tuduhan yang perempuan ini
adalah syaitan yang membunuh manusia. Saya ingat ini berlaku di bulan ketika
berlakunya letupan di Perancis. Perempuan itu nampak marah dan saya buat
keputusan untuk berdiri di tepi perempuan itu dan menyuruh dia untuk bersabar
saja. Perempuan tua itu berkata pada saya, dia bukannya Islam, cuma mungkin
sebab dia memakai selendang maka dia kelihatan seperti memakai tudung. Lucu.
Setelah bas tiba, saya berjalan ke dewan latihan, lelaki-lelaki mabuk itu dating
kepada saya dan berkata saya ini bodoh dan tidak takut dengan bom. Pengalaman
saya dengan orang mabuk, senyum dan biarkan saja, tiada guna bercakap dengan
mereka.
![]() |
Tempat kejadian : Cardiff |
Kali kedua berlaku di Cardiff. Cardiff ini sebenarnya bandar
yang mempunyai populasi muslim yang lebih ramai dari Bristol. Forum-forum
mengenai Islam juga selalu di adakan di Cardiff. Salah satu yang saya hadir
pada tahun lepas “Islamophobia Exhibition” anjuran MEND. Tidak saya sangka di Bandar
ini berlaku juga kejadian seperti ini. Ketika saya sedang duduk menunggu
rakan-rakan selesai lawatan di “Cardiff Castle”, di depan saya seorang lelaki
yang sedang minum arak mengangkat botol ditujukan kepada sekumpulan wanita yang
bertudung dan menjerit “Allahuakbar!!, Have some!!”. Wanita-wanita tersebut
cuma memandang dan mempercepatkan langkah, manakala lelaki tersebut berdiri dan
menjerit2 dengan kata-kata kesat sambal jari menunjuk-nunjuk kepada kumpulan
wanita tersebut. Tiada yang buruk berlaku, lelaki tersebut terhuyung hayang dan
terduduk semula. Agaknya pening dengan arak lah kot.
Beli belah selepas Solat Jumaat |
Kali ketiga, berlaku hari ini. Ketika perjalanan ke Masjid Albaseera
untuk sembayang Jumaat. Kira-kira beberapa ratus meter dari masjid, saya lihat
2 orang lelaki yang berjalan sambil menjerit-jerit ke arah sekumpulan wanita
yang sedang melayan anak-anak mereka. Kata-kata lelaki ini lebih kepada
menghalau kumpulan ini balik ke “Negara asal”. Lucu sebab saya rasakan 2 orang
lelaki ini bukannya warga tempatan.
3 kali kejadian, dan ketiga-tiganya melibatkan Wanita,
Tudung dan Orang Mabuk. Agaknya yang mempunyai fobia terhadap Islam ini memang
orang yang mabuk dan tidak dapat membuat pertimbangan. Manakala yang sering
menjadi sasaran mudah adalah wanita yang bertudung.
Semoga saya tidak lagi melihat kejadian seperti ini. Saya
harapkan manusia menjadi senaif mungkin serta buta warna, agama dan bangsa.
Gambar Hiasan : Bukan Tiger Beer |
Mike
Bristol.