Semoga Tiga Kali Saja

"Islamophobia", perkataan yang bukan baru tapi bukan juga lama saya kenali.

*Gambar hiasan : Sabahan di Bristol
Pengalaman semasa saya membesar, kefahaman terhadap Islam agak kurang. Yang pernah terlintas di kepala saya adalah Islam = Melayu. Tidak pernah bertanya lebih, atau tidak ada niat untuk mengetahui lebih dalam kerana, TIADA KEPERLUAN. Walaupun mempunyai kawan-kawan dari pelbagai kaum dan agama, persoalan tentang apa itu kaum dan apa itu agama tidak wujud ketika itu. Mungkin kerana sebagai kanak-kanak, tidak penting warna kulit, agama dan negara asal orang itu. Naif, tidak minat untuk bertanya lebih. Ya, indah sekali jika dunia sentiasa kekal naif seperti itu. Sentimen politik tentang “menolak melayu” yang saya dengar ketika kecil pula bermaksud menolak kepimpinan tanah besar. Ketika itu sangat kuat semangat "Sabah for Sabahan".

Kawan-kawan beragama Islam di zaman saya membesar, Nurul dan Zaharatumlina di tadika Kemas; satu kampung dan juga geng van sekolah, Maznah jiran yang juga rakan main masak-masak, Rajman ketika di sekolah rendah; saya ingat sangat sebab kejadian dia bergaduh dan lari dari jururawat semasa pemeriksaan gigi dan Hasnawati di sekolah menengah kerana tak ramai perempuan di sekolah yang pakai tudung. Kurang dari 10.

Kini saya sebahagian dari komuniti ini, saya mula mengimbau betapa bezanya suasana membesar dan suasana sebenar di realiti kini.

Cerita tentang "Islamophobia" yang sebelum ini cuma muncul di berita dan juga ucapan-ucapan politik kini berlaku di depan mata saya.


3 kali terjadi.

Kali pertama ketika perjalanan saya ke Bristol City Academy untuk latihan. Kejadian berlaku di depan mata saya apabila sekumpulan lelaki yang saya kira mabuk alkohol menjerit kepada seorang wanita tua yang sedang menunggu bas. Kata-kata kesat dikeluarkan dan juga tuduhan yang perempuan ini adalah syaitan yang membunuh manusia. Saya ingat ini berlaku di bulan ketika berlakunya letupan di Perancis. Perempuan itu nampak marah dan saya buat keputusan untuk berdiri di tepi perempuan itu dan menyuruh dia untuk bersabar saja. Perempuan tua itu berkata pada saya, dia bukannya Islam, cuma mungkin sebab dia memakai selendang maka dia kelihatan seperti memakai tudung. Lucu. Setelah bas tiba, saya berjalan ke dewan latihan, lelaki-lelaki mabuk itu dating kepada saya dan berkata saya ini bodoh dan tidak takut dengan bom. Pengalaman saya dengan orang mabuk, senyum dan biarkan saja, tiada guna bercakap dengan mereka.


Tempat kejadian : Cardiff

Kali kedua berlaku di Cardiff. Cardiff ini sebenarnya bandar yang mempunyai populasi muslim yang lebih ramai dari Bristol. Forum-forum mengenai Islam juga selalu di adakan di Cardiff. Salah satu yang saya hadir pada tahun lepas “Islamophobia Exhibition” anjuran MEND. Tidak saya sangka di Bandar ini berlaku juga kejadian seperti ini. Ketika saya sedang duduk menunggu rakan-rakan selesai lawatan di “Cardiff Castle”, di depan saya seorang lelaki yang sedang minum arak mengangkat botol ditujukan kepada sekumpulan wanita yang bertudung dan menjerit “Allahuakbar!!, Have some!!”. Wanita-wanita tersebut cuma memandang dan mempercepatkan langkah, manakala lelaki tersebut berdiri dan menjerit2 dengan kata-kata kesat sambal jari menunjuk-nunjuk kepada kumpulan wanita tersebut. Tiada yang buruk berlaku, lelaki tersebut terhuyung hayang dan terduduk semula. Agaknya pening dengan arak lah kot.





Beli belah selepas Solat Jumaat
Kali ketiga, berlaku hari ini. Ketika perjalanan ke Masjid Albaseera untuk sembayang Jumaat. Kira-kira beberapa ratus meter dari masjid, saya lihat 2 orang lelaki yang berjalan sambil menjerit-jerit ke arah sekumpulan wanita yang sedang melayan anak-anak mereka. Kata-kata lelaki ini lebih kepada menghalau kumpulan ini balik ke “Negara asal”. Lucu sebab saya rasakan 2 orang lelaki ini bukannya warga tempatan.







3 kali kejadian, dan ketiga-tiganya melibatkan Wanita, Tudung dan Orang Mabuk. Agaknya yang mempunyai fobia terhadap Islam ini memang orang yang mabuk dan tidak dapat membuat pertimbangan. Manakala yang sering menjadi sasaran mudah adalah wanita yang bertudung.

Semoga saya tidak lagi melihat kejadian seperti ini. Saya harapkan manusia menjadi senaif mungkin serta buta warna, agama dan bangsa.


Gambar Hiasan : Bukan Tiger Beer













Mike
Bristol.



No comments:

Post a Comment