Mukjizat?

Jumaat lepas separuh perjalanan untuk ke Bristol Royal Hospital Chaplaincy, hujan rintik mula membasahi bumi. Terpaksa saya berlari mengelak basah. Selesai solat Jumaat hujan berhenti, separuh perjalanan balik, hujan agak lebat. Berlari dan basah, sejuk dan sedikit "ter"sumpah.

Sambil menikmati roti canai di bilik, saya berfikir, lebih banyakkah pahala disebabkan perjalanan yang mencabar. Sejenak minda rasional logik saya mula berkata-kata (sebab dah kenyang kot). Dari awal pagi lagi saya dah tengok ramalan cuaca di telefon pintar, dikatakan akan hujan. Saya tidak edah, tanpa baju hujan, tanpa payung saya keluar. Bukankah aplikasi yahudi itu sudah diturunkan Allah untuk memudahkan manusia? Dan sebenarnya saya cuma boleh salahkan diri sebab tidak mengambil langkah untuk bersedia dengan ramalan yang sudah diberikan.

Hari ini saya terfikir pula (tiap kali kenyang akan fikir banyak), manusia begitu gigih mencari keajaiban!! Tanda-tanda kebesaran tuhan. Simbol! Kejadian! Mimpi! Mistik! dan banyak lagi, semua ini antara yang cuba dicari oleh manusia untuk membuktikan bahawa wujud kuasa lebih besar. Semua ingin kembali ke zaman mukjizat. Bila cerita tentang keajaiban, percayalah, saya amat faham kerana bukan sekali dua saya ditanya tentang keajaiban, tentang mimpi, tentang panggilan yang menyebabkan saya kembali kepada Islam. Bila saya kata LOGIK, maka ia bukan lagi boleh dijadikan sensasi media, dicari terus kepada cerita mimpi.

Kita terlalu taksub mencari benda yang tidak boleh diterangkan logik untuk mengukuhkan "PERCAYA". Tanpa kita sedar, di sekeliling kita sudah wujud pelbagai keajaiban. Penawar di dalam bentuk tablet. Pemindahan jantung yang memberikan nyawa kedua. Vaksin yang mengawal wabak. Sumber2 fizik, sain dan teknologi yang membolehkan kita mengharungi laut dan juga naik ke angkasa. Bukankah ini adalah "mukjizat-mukjizat" yang diturunkan untuk manusia? Dan sedih bila ada juga golongan yang menolak kepada nikmat yang diturunkan ini. Maka, nikmat yang manakah yang kamu dustakan?

*duduk sebentar,lihat sekeliling betapa banyaknya keajaiban di dunia.

Mike
Bristol.

No comments:

Post a Comment