Seminggu di Bristol

Assalamualaikum semua,

Sudah lebih seminggu saya berada di University of Bristol sejak hari pertama saya menjejak bumi Bristol pada 01 Oktober 2015. Apa yang ingin saya kongsikan pada hari ini adalah mengenai takdir, ini adalah kesinambungan kepada perkongsian lepas saya mengenai Jodoh Pertemuan.




Sejujurnya, sepanjang tempoh persediaan untuk bercuti belajar ini, saya sentiasa merasa gusar. dan rasa itu tidak hilang sehinggalah saya menjejakkan kaki saya di luar pintu ketibaan lapangan terbang Heathrow. Ini adalah kerana selepas apa yang terjadi dalam tempoh 3 bulan sebelum cuti belajar (isu biasiswa, isu kewangan, isu tawaran), keyakinan saya terhadap peluang cuti belajar adalah sangat rendah. Keyakinan diri yang sangat rendah sehinggakan setiap soalan "Bila akan berlepas", "Bila mula cuti belajar" dan "Akan ke universiti mana" itu membunuh saya sedikit demi sedikit.

Jika setiap soalan itu merupakan sebatang jarum yang menusuk badan ini, maka saya boleh katakan saya sudah jadi landak. Bukan kerana terlalu ramai yang bertanya, tapi jumlah pertanyaan yang sama dari keluarga, rakan sekerja dan rakan karib tidak mampu menandingi jumlah soalan yang saya tanya pada diri sendiri. Pernahkah anda meminta sesuatu melebihi daripada jumlah yang anda minta selama ini? Ini yang saya rasakan sepanjang 3 bulan (Jun-September). Ya.. saya pasti ini cuma sekelumit kecil cabaran dalam hidup yang menghentak saya dan saya tahu masih panjang lagi cabaran ini.

Dan ya Allah jika masih ada lagi cabaran seperti ini, saya doakan agak Engkau berikan saya kekuatan yang lebih tinggi, saya doakan Engkau turunkan lagi pahlawan-pahlawan Mu sepeti yang telah engkau turunkan untuk membantu hamba Mu ini.


Pengalaman Solat Jumaat Pertama di Bristol
REDHA.. Itulah satu perasaan yang saya akhirnya faham dalam tempoh cabaran ini. Kali pertama saya berdoa tanpa henti adalah ketika berada di Mekah. Solat hajat meminta petunjuk, bukan petunjuk, rasanya lebih kepada meminta-minta. Apa yang saya minta tidak menjadi kenyataan. Saya terima kenyataan itu. Kali kedua saya meminta-minta adalah sepanjang 3 bulan cabaran ini, dan pada satu malam saya duduk di Masjid UKM saya akhirnya menyebut "apa nak jadi, jadilah.. saya redha, apa saja jalan yang diberikan setelah segala usaha saya lakukan akan saya terima. Saya akan berusaha untuk segalanya, dan serahkan selebihnya pada Allah" Pada ketika itu saya sedar, manusia lebih banyak melulut daripada bersujud. Pada ketika saya sujud, saya serahkan segalanya padaNya, pada ketika melulut saya menceritakan saya telah lakukan segala yang saya tahu dan mohon petunjuk jika ada lagi jalan yang belum saya terokai.

Syukur alhamdullilah, saya telah menjejak ke bumi yang dingin ini. Segalanya baru, segalanya belum diterokai. Saya pasti ini adalah jalan Jihad yang telah ditulis untuk saya. Dan demi Allah dan juga kepada pahlawan yang telah Dia turunkan untuk membantu dan mempercayai saya, saya akan lakukan segala yang saya tahu untuk berjaya.

_________________________________________________________________________________
*Saya kini adalah secara rasminya bergelar pelajar semula. InsyaAllah saya akan kongsikan sedikit demi sedikit pengalaman saya di sini.










Mike


2 comments: