PILIHAN atau PELUANG

PILIHAN atau PELUANG

Bukan sekali soalan itu ditanya kepada saya. Saya percaya apa yang terjadi pada kita setiap hari berlaku dengan 2 cara. PILIHAN atau PELUANG. Pada 12 tahun lepas ketika mengisi UPU apa yang saya PILIH adalah untuk keluar dari Sabah. Semua pilihan no 1 hingga no 8 pada borang UPU itu saya letakkan nama Universti-universiti "Oversea". Mendapat tempat di UKM adalah PELUANG yang diberikan pada saya oleh Allah.

Sepanjang berada di UKM, mustahil tidak pernah saya persoalkan adalah PILIHAN ini betul? Namun saya ditunjukkan oleh Allah untuk melihat semua yang berlaku dengan mata hati. Banyak kejadian yang berlaku, banyak perkara yang saya belajar dan juga banyak yang Bumi UKM ini berikan pada saya. Saya yakin Allah mahukan saya di bumi UKM ini.

Manusia akan banyak belajar dari pengalaman. Pengalaman di UKM merupakan salah satu pengalaman yang paling banyak membentuk "siapa Mike sekarang". Naik, turun, jatuh tersungkur dan bangun semula, banyak berlaku ketika saya di UKM, malah kisah tentang hidup dan mati juga pernah berlaku di UKM. 


KENAPA UKM?

Bulan Mei 2004 saya mulakan hidup saya sebagai Mahasiswa di UKM. Jika dikira sehingga hari ini, saya sudah berada di UKM selama 11 Tahun 4 Bulan. Dan dengan izinNYA, saya berdoa agar jodoh saya dengan UKM akan lebih panjang lagi.

Saya ingat selepas saya menamatkan pengajian saya, saya PILIH untuk berada di UKM. Ketika itu saya merasakan banyak yang UKM telah bantu saya dan dalam masa yang sama saya merasakan banyak perkara yang boleh saya sumbangkan untuk UKM. Pada awalnya saya cuma berkerja secara separuh masa di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat untuk membantu beberapa pelajar mengendalikan Arrick Robot untuk projek penyelidikan mereka. Kemudian saya berpeluang untuk berkerja di Pusat Pembangunan Akademik beberapa bulan. 


Sepanjang tempoh saya berkerja di tempat lain setelah majlis konvokesyen tahun 2008, saya sentiasa mencari peluang untuk berkerja di UKM. Temuduga kali pertama di UKM tidak membuahkan hasil, Temuduga kali kedua adalah rezeki yang diturunkan kepada saya. Saya ditawarkan untuk berkhidmat sebagai pegawai tadbir di Pusat Hubungan Antarabangsa dan melaporkan diri pada 3 Febuari 2009.

Berkerja di Pusat Antarabangsa merupakan ruang yang luas untuk saya meningkatkan lagi diri saya. Pelbagai pengalaman yang saya telah pelajari dan Bonus pelbagai Negara telah saya lawati. Saya membina peribadi saya sebagai Pentadbir yang Profesional. Pelbagai jawatan di dalam UKM dan luar UKM yang telah saya pegang sepanjang saya di Pusat Antarabangsa. Antaranya adalah koordinator Malaysia bagi Projek Erasmus Mundus, Koordinator Projek ASEAN Mobility (AIMS), dan juga jawatankuasa yang menasihatkan KPT dalam isu-isu Pertukaran pelajar.

Pembinaan profil peribadi melalui PHA telah memberikan saya satu imej baru. Bagai melekat panggilan "Mike Antarabangsa" itu pada diri saya. Dan pembinaan profil ini membuka ruang baru, beberapa tawaran menarik muncul. Tawaran untuk berkhidmat di tempat lain yang juga memerlukan pengalaman yang saya telah bina sepanjang bertugas di PHA. Tawaran untuk berkhidmat di luar negara, NGO dan juga tawaran yang datang dari kampung halaman sendiri.

Apa yang mereka tidak tahu ketika menyatakan tawaran tersebut pada saya adalah, saya PILIH untuk berkerja di UKM. UKM bukannya tempat sebagai batu loncatan yang menyebabkan saya terus berpindah apabila menerima tawaran yang menarik. Saya ingin terus membawa nama UKM.


MASA DEPAN DI UKM

Kini Peluang dan Pilihan muncul serentak. Saya PILIH untuk meningkatkan lagi diri saya, melengkapkan lagi diri saya untuk membolehkan lebih banyak sumbangan saya dipahat di sejarah UKM. PELUANG dan KEPERCAYAAN diberikan kepada saya untuk bercuti belajar bermula Oktober 2015. Saya pasti akan gunakan peluang ini untuk mempelajari segala yang perlu dan kembali berkhidmat untuk UKM. 

Peluang dan Kepercayaan ini akan saya jadikan cabaran untuk saya untuk terus maju ke hadapan. Beberapa orang yang saya kenali yang juga berkhidmat di UKM pernah berkali katakan kepada saya, ada peluang keluarlah, cari kerja tempat lain. Apa yang saya katakan kepada mereka, kita ada peluang untuk menambah baik apa yang sedia ada, setialah terus dan sama-sama kita cipta peluang di dalam bumi UKM ini.

#SayaSayangUKM







No comments:

Post a Comment