Pilihanraya kampus, Arena Politik Negara dan Kepimpinan Mahasiswa

  1. Terdetik untuk menulis ketika menjelangnya pilihan raya kampus. Bukan tujuan kempen, bukan tujuan kritik tapi sekadar perkongsian tentang pandangan peribadi. Sejujurnya saya sendiri lebih selesa bercakap dari menulis. Namun teman untuk bercakap tentang isu-isu yang kritis agak kurang atau mungkin boleh juga dikatakan, kurang yang sehaluan untuk berbincang secara terbuka tanpa sentimen. 
  2. Pilihanraya kampus – PRK Arena Politik Negara – APN Apa kaitannya PRK dan APN? 
  3. Pandangan peribadi mengenai situasi sebenar, SANGAT BERKAIT RAPAT. Pandangan peribadi mengenai apa yang sepatutnya diamalkan, TIDAK PATUT ADA KAITAN RAPAT. 
  4. Izinkan saya mengupas dahulu mengenai APN. APN di Malaysia terkenal dengan pihak KERAJAAN dan PEMBANGKANG. Secara lazim kerana sudah terikat atau mungkin sudah menjadi budaya untuk pertandingan adalah satu lawan satu. Agak kurang pertandingan tiga pihak (selalunya pihak ketiga dipanggil BEBAS) hingga pilihan menjadi agak terhad. 
  5. Sekali lagi ditegaskan bahawa artikel ini adalah pandangan peribadi secara terus tanpa merujuk mana-mana fakta, hanya berdasarkan pemerhatian umum. Oleh itu, komen-komen mengenai statistik parlimen atau dun yang menjalankan pertandingan 3 penjuru akan saya abaikan. 
  6. Disebabkan situasi ini, maka pilih antara satu menjadikan sifat kempen lebih kepada “pilih yang terbaik antara yang buruk” ,”The lesser of two evils principle”, “saya sanggup pilih syaitan daripada memilih pihak lawan”, “Asal Bukan UMNO”, “Asal Bukan Anwar Ibrahim” dan sebagainya. 
  7. Kempen lebih memfokuskan kepada keburukan pihak lawan berbanding memberi tumpuan kepada kekuatan diri. Pemilihan lebih kepada “saya pilih dia sebab, saya taknak pilih pihak lawan”, “saya pilih siapapun asalkan bukan penyagak UMNO”, “Asal bukan pencacai PR”. Begitu sempitnya ruang pemilihan tersebut. Sekali lagi rujuk kepada peryataan 5. 
  8. Kita tinggalkan APN, kita balik kepada PRK. Melihat kepada situasi APN, adakah kita inginkan benda yang sama pada PRK? Saya percaya bahawa setiap seorang daripada MAHASISWA ingin memilih wakil yang terbaik bagi mewakili suara mereka. Pemimpin yang membawa kepada ASPIRASI mahasiswa itu sendiri. 
  9. Apa itu ASPIRASI UKM? Apa itu ASPIRASI MAHASISWA? Apa yang saya maksudkan dengan perkataan “ASPIRASI” adalah HARAPAN, IMPIAN, dan CITA-CITA YANG INGIN DICAPAI. 
  10. ASPIRASI UKM? Adalah harapan yang diletakkan oleh UKM, harapan yang diletakkan oleh setiap sen yang disumbangkan ketika awal penubuhan UKM, harapan kepada hasil tuaian dari pelaburan kepada UKM. 
  11. ASPIRASI MAHASISWA? Mungkin 2 perkataan yang tidak diletakkan bersama di UKM. Pemahaman warga umum ukm,ASPIRASI – pihak kerajaan mahasiswa yang ditaja oleh politik kerajaan.Pro-MAHASISWA – pihak pembangkang mahasiswa yang ditaja oleh politik kerajaan. 
  12. Pandangan peribadi saya, ASPIRASI MAHASISWA sepatutnya bermaksud harapan mahasiswa, cita-cita yang dibawa oleh mahasiswa dan pemikiran mahasiswa. Sesiapa pun boleh menjadi ASPIRASI MAHASISWA, pemimpin mahasiswa yang sanggup MENGGALAS, MEMIKUL dan juga BERSATU dengan pemimpin mahasiswa yang lain untuk MENJINJING tanggungjawab ini. Sesiapa pun, tanpa mengira kumpulan, persatuan, agama, bangsa, negeri, negara mahupun berbeza PENDIRIAN DIRI pada APN sepatutnya menjadi sebahagian dari wakil ASPIRASI MAHASISWA yang membawa bersama mereka  ASPIRASI UKM. 
  13. Wakil kepada mahasiswa UKM, wakil kepada kepimpinan pelajar UKM sepatutnya adalah pelajar yang mempunyai keterampilan yang tinggi. Membawa nama baik UKM. Menjadi DUTA UKM. Menjadi PENYAIR yang memuji-muji kehebatan UKM. Menjadi PENDEBAT yang mempertahankan pendirian UKM. Menjadi sebahagian daripada motor-motor yang mengerakkan UKM. Bergerak sederap dengan ASPIRASI UKM. 
  14. Imej seorang mahasiswa yang mewakili UKM juga sepatutnya mempunyai sahsiah dan intelek yang positif. Sudah pastinya majoriti mahasiswa tidak impikan wakil yang memburukkan UKM di media luar, mempunyai IMEJ yang kurang sedap dilihat melalui perlakuan, cara berpakaian dan juga cara berbicara. Imej seorang WAKIL UKM sepatutnya seorang yang akan memberikan gambaran “Inilah kakitangan yang saya nak” pada pandangan majikan. “inilah calon menantu saya” pada pandangan ibubapa. “Inilah ALUMNI UKM” pada pandangan masyarakat.Sudah pasti kita tidak inginkan pandangan saat pertama pihak majikan, bakal mentua, bakal klien adalah NEGATIF disebabkan sikap dan sifat segelintir pelajar yang mewakili kita. 
  15. PRK adalah PRK. Tujuannya adalah untuk memilih wakil yang membawa ASPIRASI MAHASISWA. Mahasiwa di UKM adalah mahasiswa yang berintelek, tinggalkan pemikiran APN dan jadilah wakil yang sebenar. Mahasiswa UKM adalah mahasiswa yang bijak belaka, jangan pilih untuk menjadi “speaker”, pilihlah untuk menjadi “CPU”. 
  16. Melihat kepada situasi PRK di Malaysia secara am dan PRK di UKM secara khusus. Saya agak terkilan apabila melihat rentak PRK adalah menyamai rentak APN. Tumpuan lebih kepada mencari silap pihak lawan. Tumpuan lebih kepada memburukkan pihak lawan. Manifesto-manifesto yang tidak mewakili semua pelajar. Tiada kajian secara INTELEK mengenai kemahuan mahasiswa. Telah wujud kumpulan-kumpulan kempen berbentuk “asal bukan wakil aspirasi”, “asal bukan gmukm”. Pilih satu antara dua. 
  17. Kempen lebih kepada label, warna, laungan dan catchphrase. Kempen lebih kepada melobi mana yang patut. Apa saja asal bukan pihak lawan. Saya sendiri pernah diajak untuk menyertai kumpulan-kumpulan. (selepas habis belajar) saya bertanya; macam mana nak JOIN? Dijawab; MESTI menyokong kami. Sedih. Kalau bukan ahli yang membaiki kerapuhan organisasi, siapa lagi? 
  18. Ketaksuban kepada label dan nama memuncak seolah-olah mentuhankan label. Ayat yang pernah saya berikan “korang ni macam percaya berhala betul”. Kecewa apabila ketakutan pada label yang terlalu tinggi hingga diri dibutakan, dibisukan, direncatkan untuk menjalankan sedikit tindakan berintelek dan menyelidik. MAJALAH ASPIRASI nama yang ditakuti hingga ditukarkan nama kepada MAJALAH UKM. Sanggup merobek sejarah majalah yang mewakili ASPIRASI MAHASISWA TERSEBUT tanpa dikaji yang nama majalah tersebut telah digunakan sejak zaman IPU, MAMPU dan generasi-generasi sebelumnya tanpa mengira label. Ini adalah luahan peribadi atas kekecewaan setelah saya memperjuangkan penerbitan majalah itu sepanjang pengajan saya di UKM. 
  19. Politik adalah politik. PRK adalah PRK. Apa ASPIRASI SAYA terhadap PRK. Pemilihan wakil pelajar sepatutnya WAKIL MEWAKILI DIRI. Jika manifesto pun tidak mampu dibuat. Lupakan untuk masuk bertanding. 
  20. PRK ideal di dalam bayangan saya. Mahasiswa mewakili diri, atas keinginan diri, untuk mewakili diri, bagi mewakili ASPIRASI MAHASISWA. Calon yang berkeyakinan untuk memikul tanggungjawab, yang yakin segala pengalaman memimpin dan berorganisasi yang dimiliki sebagai penyokong. Saya membayangkan presiden persatuan-persatuan, pengerusi urusetia/kelab, mantan-mantan YDP-YDP, pengarah program-program mega UKM bertanding untuk merebut jawatan PRESIDEN PMUKM. Mereka yang mempunyai pengalaman pengalaman dalam bidang-bidang fokus contohnya sukan, latihan, hubungan luar dan ICT boleh bertanding atas kapasiti kepakaran mereka. Contohnya sukan, biarlah atlet-atlet, mahasiswa pendidikan sukan dan mahasiswa yang yakin menguruskan sukan yang mencalonkan diri. Dalam masa yang sama mereka yang mencalonkan diri perlu mempunyai sifat seperti pada 13. 
  21. Saya pernah bertanya kepada beberapa individu, pihak yang dilabel kerajaan, pihak yang dilabel pembangkang dan termasuklah seorang wakil di kabinet. Wujudkah parti politik dalam PRK? Sehingga kini tiada jawapan. Melalui kefahaman saya sepatutnya tidak wujud. Sepatutnya calon mewakili diri dan bukannya organisasi. Dan setiap yang menang akan mewakili warga mahasiswa dan UKM. Sepatutnya tiada isu kumpulan mana yang mempunyai majoriti yang besar menentukan bentuk organisasi. Maka itu, sekali lagi persoalan yang saya lontarkan. SIAPA YANG ANDA PILIH? Calon atau labelnya?

SELAMAT MENGUNDI!!

Endlog

Penulisan ini saja dicoretkan untuk difikirkan bersama. Dan rujuk semula pada penyataan 5. Apa yang dicoret adalah keluar secara spontan dan diluahkan semula apa yang pernah dibincangkan bersama beberapa raka suatu ketika dahulu. Kesukaran untuk mendapatkan internet di Osaka merencatkan penulisan berpandukan statistik. Separuh bahan catatan ini ditulis secara spontan ketika menunggu dan duduk dalam keretapi Osaka. Catatan disiap secara penuh di dalam penerbangan balik ke Malaysia. Semoga yang membaca memahami kekurangan yang ada.

No comments:

Post a Comment